Nota amaran lalat. Gambiran pokok kayu mati diatas tiada kena mengena dengan tajuk entri dan juga cerita dibawah. Harap maklum.
DULU-DULU penulis pernah menemani rakan penulis menghadiri sessi perbicaraan di mahkamah syariah. Penulis sekadar ingin menceritakan pengalaman mendengar beberapa kes cerai. Dan ini kes cerai yang ditangguhkan oleh hakim kerana beberapa sebab.
Kes cerai 1. Suami (plaintif) diwakili peguam ingin memohon cerai, tapi isteri (defendan) masih dalam perjalanan. Hakim bersetuju untuk tangguh sebab hakim kata hidup di key Ell ini memang begitu, terkena kesesakan jalanraya adalah normal. Tetapi penulis tidaklah setuju sebab kalau kita sudah tahu trafik jam silalah keluar awal dari rumah. Ada orang duduk tinggal dalam hutan rimba (Ampang) berjuta-juta lemon jarak jauhnya, lepas itu kena melalui Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak, lepas itu Jalan Sungai Besi boleh tiba sebelum sessi mahkamah dijalankan. Janji perbicaraan bermula jam 9pagi, ini tunggu sampai pukul 9.33 pun batang hidung hakim tak nampak lagi.
Kes cerai 2. Isteri (defendan, Melayu) dan suami (plaintif, Turki) memohon pengesahan lafaz cerai luar mahkamah. Suami tak tahu berbahasa Melayu, cuma faham bahasa Turki dan Inggeris. Hakim beritahu bahawa mahkamah hanya dijalankan dalam bahasa kebangsaan termaktub dalam perlembagaan. Isteri diminta menterjemah. Tetapi hakim seperti tidak puas hati dengan cara isteri yang tidak sempurna bertudung. Isteri kata, 'rushing'. Hakim kata, 'bukankah awak dah tahu bicara pukul berapa, mahkamah dah beri banyak masa untuk awak memakai tudung'. Hakim menangguhkan kes sementara supaya isteri boleh bertudung menurut hukum syarak. Pendaftar disuruh membantu isteri cara betul pakai tudung.
Kes cerai 3. Suami (defendan) tidak diwakili peguam ingin memohon cerai, tapi isteri belum tiba. 'Dia kata tengah main kotor, merah, ' kata suami tadi. 'Main ape?', hakim seperti terkejut pula. Penulis pun kabur juga maksud dia. Rupa-rupanya, 'main kotor' tu maksudnya isteri cakap dia dalam haid. Penulis tidaklah pasti samada perempuan yang didatangi haid dilarang masuk mahkamah. Dan suami tadi memberitahu ini adalah kali kedua isteri tidak datang ke mahkamah dengan pelbagai alasan. Hakim pun tangguhkan kes sementara sehingga isteri dia tiba.
Nota lalat. Tiba-tiba penulis teringat juga slanga bahasa kiasan orang-orang di kedai mamak bila memesan minuman, contohnya, air teh tarik 'potong kaki' atau air teh 0 'pengantin malam pertama'. Ketawa saja penulis mendengarnya.
Blog bukanlah hakmilik kekal.